Azad atau nama sebenarnya Azad Jazmin John Louis Jeffri, 39, berkata kemalangan pada jam 5 petang yang turut bersama isteri, anak perempuan dan adik lelakinya itu berpunca daripada kesan minyak tumpah di luar terowong Ipoh.
“Saya bersyukur kerana masih diberikan kesempatan oleh Allah untuk bernafas. Pelbagai perkara berlegar di benak fikiran dan saya menyangka kereta itu akan jatuh ke gaung.
“Saya sempat menoleh kepada adik lelaki saya di belakang sambil mengungkapkan kata-kata maaf kepadanya. Syukur juga isteri saya, Eira memegang erat anak perempuan kami di bahagian belakang dalam keadaan getir itu.
“Keadaan menjadi bertambah kalut apabila ada peminat terlihat kami terlibat dalam kemalangan dan ingin bergambar. Lantas menjadikan lebuh raya sesak seketika,” .
Azad menambah, mereka sekeluarga dalam perjalanan untuk pulang ke Pulau Pinang selepas membawa ibunya ke Kuala Lumpur untuk menonton filem Girlfriend Kontrak lakonannya.
“Saya menganggap ada hikmah di sebalik kejadian yang berlaku ini. Niat kami untuk membawa ibu saya menonton filem lakonan saya terbantut kerana kemalangan itu dan kami berpatah balik ke Kuala Lumpur.
“Saya memohon maaf kepada pihak media tidak menjawab panggilan kerana masih berada dalam keadaan trauma. Eira begitu terkesan dengan kejadian itu dan kami memutuskan untuk mengambil sedikit masa sebelum memberi sebarang kenyataan.
“Seperti diberikan kesempatan untuk hidup buat kali kedua, saya terus pulang sujud syukur selepas kemalangan itu. Insya-Allah, saya dan Eira merancang untuk membuat doa selamat ketika Hari Raya Aidiladha nanti memandangkan ahli keluarga semua berada di sini,” kata Azad.
Dalam perkembangan terbaharu, filem Girlfriend Kontrak yang menampilkan Azad selaku pelakon pembantu bakal menggegarkan pawagam bermula esok.
Filem itu turut membariskan pelakon hebat seperti Keith Foo, Bront Palarae, Fara Fauzana, Risteena Munim dan ramai lagi.
0 comments:
Post a Comment